Dr. Saemah Rahman
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pendahuluan
Pemupukan amalan pemikiran kritikal melalui strategi metakognitif boleh digunakan untuk mencapai tujuan ini. Dalam strategi metakognitif, amalan pemikiran kritikal boleh diaplikasikan ketika proses penilaian dijalankan sebelum, semasa dan selepas aktiviti dijalankan melalui soalan dan penyoalan yang mengarah kepada tindakan untuk mencapai objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Dengan lain perkataan, pemikiran kritikal diaplikasikan dalam ketiga-tiga proses metakognisi iaitu proses merancang, memantau, dan menilai aktiviti pembelajaran mereka ketika mengakses dan mempelajari bahan daripada internet. Aktiviti ini sangat penting untuk memastikan pelajar mencapai objektif yang ingin dicapai daripada proses pengaksesan maklumat tersebut.
Melalui strategi ini, pelajar dijangkakan akan dapat membina strategi asas pemikiran kritikal yang dapat meningkatkan keupayaan mereka mempelajari bahan daripada internet di masa hadapan. Ini termasuklah keupayaan untuk memberi tumpuan, menyusun, mengkategori, memproses dan mengeluarkan maklumat yang sangat penting dalam persekitaran maklumat seiring dengan objektif pembestarian sekolah masa kini.
Secara umum, bab ini membincangkan tentang bagaimana strategi metakognitif boleh digunakan seiring dengan aplikasi pemikiran kritikal untuk mencapai tujuan pembelajaran dalam persekitaran pembelajaran digital masa kini. Penulisan bab ini dibahagikan kepada beberapa bahagian kecil seperti berikut:
1. Strategi belajar dan era komunikasi digital
2. Metakognisi dan pemikiran kritikal
3. Aplikasi pemikiran kritikal dan strategi metakognitif dalam mempelajari bahan
Strategi Belajar dan Era Komunikasi Digital
Kemahiran relajar atau tahu cara belajar adalah kemahiran yang penting dalam proses pembelajaran individu. Mengetahui proses belajar dan mengetahui strategi apa yang sesuai dan berkesan merupakan satu kemahiran yang paling berharga yang membezakan keberkesanan proses pembelajaran seorang pelajar. Sejak dari zaman tradisi, proses belajar dikaitkan dengan aktiviti membaca untuk memahami sesuatu. Justeru, penelitian mengenai kemahiran belajar seringkali membincangkan tentang bagaimanakah proses membina pengetahuan melalui pembacaan itu berlaku.
Dari segi teori pembelajaran, teori tahap pemprosesan ( Craik and Lockhart, 1972) menyatakan bahawa lebih mendalam tahap pemprosesan, lebih baik kesan pembelajaran. Teori ini juga menyokong dapatan bahawa kita dapat mengingat dengan lebih baik jika maklumat itu bermakna kerana maklumat yang bermakna diproses lebih mendalam berbanding ransangan yang tidak bermakna. Anderson and Reder (dalam Brown, 1999) mencadangkan proses penghuraian dapat menjelaskan keadaan tersebut. Dengan memproses maklumat secara semantik, ianya disimpan dalam berbagai penghuraian yang berbagai dan seterusnya dapat meningkatkan ingatan. Pemprosesan maklumat pada tahap yang berbeza ini berlaku tanpa disedari dan automatik contohnya selalunya kita tidak sedar ciri-ciri rancangan sensori atau apa yang ada dalam ingatan bekerja kita kecuali kita secara khusus diarahkan untuk mengenal pasti maklumatr berkenaan. Oleh itu, pelajar perlu diajar mengawal pemikran mereka supaya dapat membuat pemprosesan yang mendalam ketika mempelajari makumat yang diakses daripada internet. Teori ini jelas menyokong penggunaan strategi metakognitif bagi membolehkan pelajar mengawal proses pemikirannya ketika melaksanakan tugasan pembelajaran daripada komunikasi digital kini.
Beberapa strategi telah dicadangkan untuk meningkatkan pembelajaran daripada teks seperti teknik-teknik PQ4R (Thomas dan Robinson,1972), teknik MURDER (Hayes, 1989), teknik READS (Friend & Bursuck, 1996) dan teknik TCDR (Walter, Knudsvig & Smith, 2003). Kebanyakan teknik-teknik ini menyokong kepentingan pemprosesan maklumat yang mendalam untuk membantu mempertingkat proses pembelajaran daripada teks. Menurut Tei & Stewart (1985), untuk menjadi pembelajar yang berkesan, pelajar perlu tahu keadaan atau tahap pembelajaran mereka dan kejayaan strategi yang mereka gunakan supaya jika mereka tidak faham sesuatu konsep, mereka boleh membuat bacaan tambahan atau merujuk sumber luaran. Mereka mencadangkan dua strategi metakognitif iaitu mengajar pelajar menyoal diri sendiri dan membuat rumusan apa yang di baca. Brown (1999) merumuskan beberapa strategi dan teknik yang boleh digunakan untuk tujuan meningkatkan kecekapan ketika memproses maklumat iaitu:
· Menggunakan teknik membaca aktif untuk memastikan tumpuan yang berterusan ke atas bahan yang dibaca
· Mengetahui apa yang perlu diketahui dan membaca maklumat yang dikehendaki
· Membaca pada tahap pemerosesan yang sesuai
· Menggunakan jadual isi kandungan, indeks, glosari dan peta minda
· Mencipta jadual isi kandungan sendiri untuk meninjau semula perkara yang di analisis.
Dalam era ledakan maklumat kini, persekitaran pembelajaran tidak terhad
kepada bahan bercetak tetapi juga bahan-bahan dalam bentuk digital yang diakses melalui komputer seperti bahan-bahan berbentuk teks, audio dan video. Persoalannya sejauhmanakah strategi tersebut dapat diadaptasikan dalam persekitaran pembelajaran masa kini.
Secara keseluruhannya, strategi membaca teks yang disarankan boleh digunakan dalam persekitaran digital kini (Tei & Stewart, 1985). Teknik-teknik pembelajaran boleh diadaptasi untuk membantu belajar dalam persekitaran maklumat kini.bagaimanapun salah satu isu dalam persekitaran digital ini ialah masalah lambakan maklumat dan bagaimana mengintegrasikan maklumat yang diakses menjadi satu pengetahuan yang bermakna dan berguna. Kajian Saemah & Siti Fatimah (2007) mendapati masalah utama pembinaan makna dalam pesekitaran hipermedia ialah masalh mengintegrasikan maklumat yang diakses daripada berbagai pautan (link) yang saling berkaitan. Malahan ada responden yang berpendapat bahawa maklumat dalam pautan yang terlalu banyak boleh mengelirukan dan menyebabkan mereka hilang orientasi. Kebanyakan responden tidak mempunyai strategi yang khusus bagaimana menangani masalah ini. Strategi yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar ialah strategi “gunting dan tampal” yang mendedahkan mereka kepada amalan plagiat. Amalan ini juga tidak membantu pelajar memproses maklumat secara yang bermakna.
Saemah (2006) mencadangkan strategi metakognitif TKPm3S untuk mempelajari bahan berbentuk hiperteks. Dalam strategi tersebut, penekanan adalah terhadap kesedaran mengenai proses pembelajarannya sendiri yang merujuk kepada kebolehan pelajar dalam merancang, mamantau dan menilai proses pembelajarannya sendiri. Bagaimanapun strategi tersebut hanya menumpukan kepada usaha mengatasi masalah “bebanan kognitif” dan “fenomena disorientasi” di kalangan pelajar ketika mengakses dan mempelajari bahan berbentuk hiperteks. Bab ini akan menumpukan kepada aplikasi pemikiran kritikal ketika proses mengakses meliputi proses menilai dan seterusnya mempelajari bahan yang diakses daripada internet.
Justeru berikut dibincangkan bagaimana aplikasi pemikiran kritikal digunakan dalam strategi metakognitif untuk membantu pelajar membuat penilaian bagi setiap peringkat dalam strategi metakognitif iaitu semasa merancang, memantau dan menilai proses mengakses, menilai dan seterusnya mempelajari bahan yang diakses daripada internet bagi mencapai objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Sebelum itu, hubungan antara metakognisi dan pemikiran kritikal dibincangkan terlebih dahulu.
Metakognisi dan Pemikiran Kritikal
Secara umum metakognisi bermaksud “pemikiran tentang pemikiran” atau ‘kognisi tentang kognisi’. Ia merujuk kepada pengetahuan seseorang tentang proses pembelajarannya sendiri. Pengetahuan tersebut digunakan untuk memantau dan meregulasi proses kognitifnya ketika menjalankan aktiviti belajar/ berfikir. Driscoll (1994) menyatakan bahawa metakognisi merujuk kepada kesedaran seseorang tentang pemikirannya dan tingkah laku regulasi kendiri yang dihasilkan oleh kesedaran tersebut. Osborne (1999) menyarankan bahawa metakognisi meliputi pemantauan aktif, kawalan secara sedar atau regulasi eksekutif bagi proses mental. Tei & Stewart (1985) pula mendefinisikannya sebagai mempunyai pengetahuan (kognisi) dan mempunyai kefahaman, kawalan serta penggunaan yang sesuai pengetahuan tersebut.
Metakognisi mengandungi dua proses asas yang berlaku serentak iaitu memantau kemajuan semasa proses pembelajaran dan membuat perubahan atau mengubah suai strategi yang digunakan jika didapati ianya kurang berkesan. (Winn & Snyder, 1998). Proses metakognisi ini melibatkan antara lain proses refleksi kendiri, penetapan matlamat, pengurusan masa serta inisiatif dan tanggungjawab kendiri. Ia melibatkan kedua-dua kesedaran tentang pengetahuan dan kesedaran tentang kawalan proses pembelajaran seseorang. Dengan lain perkataan, kemahiran metakognitif meliputi proses kawalan secara sedar pembelajaran seseorang termasuklah dari peringkat perancangan, memilih strategi yang sesuai, memantau kemajuan pembelajaran, membetulkan kesilapan yang dilakukan, menilai keberkesanan strategi pembelajaran yang digunakan serta menukar strategi atau tindakan yang diambil jika perlu (Ridley, Schutz Glanz & Weinstein, 1992).
Strategi metakongnitif mengandungi tiga langkah asas iaitu (1) membina pelan tindakan (2) mengekalkan atau memantau pelan dan (3) menilai pelan tindakan. Pengawalan proses pembelajaran melalui ketiga-tiga langkah tersebut dilaksanakan melalui beberapa siri soalan yang memerlukan pelajar membuat penilaian tentang tugasan pembelajaran yang dilaksanakan. Aktiviti penilaian dalam ketiga-tiga langkah tersebut sangat berkait rapat dengan pemikiran kritikal. Melalui strategi metakognisi, pelajar belajar menguruskan pembelajaran mereka sendiri iaitu kesedaran bahawa mereka perlu merancang, menilai, dan meregulasikan proses pembelajaran mereka. Ciri penting disini ialah pelajar akhirnya akan dapat menguasai dan mengawal pembelajarannya sendiri melalui amalan pentaksiran kendiri (self-appraissal) dan pengurusan kendiri (self management) dalam proses pembelajaran mereka (Paris & Winograd, 1990).
Secara umum, pemikiran kritikal merujuk kepada usaha-usaha menganalisis dan mentaksir sesuatu untuk digunakan atau untuk diperbaiki. Ennis (1985) mendifinisikan pemikiran kritikal sebagai “....Reasonable, reflective thinking that is focus on deciding what to believe or do...”. Ia merujuk kepada aktiviti pemikiran reflektif bagi mencari kemunasabahan atau kewajaran sesuatu perkara sebelum memutuskan apa yang hendak dilakukan atau hendak dipercayai. Paul (1995) mendefinisikannya sebagai “...thinking about thinking to improved thinking...”. Di sini pemikiran kritikal dirujuk sebagai aktiviti atau seni “pemikiran tentang pemikiran” dalam mana ia mengenal pasti kekuatan dan kelemahan; dan menyatakannya semula dalam bentuk yang lebih baik (improved form) jika perlu. Dengan lain perkataan, kita menganalisa untuk mentaksir, dan kita mentaksir untuk memperbaiki (Paul & Elder, 2006).
Seseorang itu dikatakan mengaplikasikan pemikiran kritikal ketika menilai sesuatu apabila ia menunjukkan usaha untuk melihat sesuatu dengan lebih jelas, benar dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, dapat membezakan yang mana sempurna dan yang mana tidak sempurna dan secara keseluruhannya ia menghakimi dan menilai sesuatu secara adil. Paul (1995) juga melihatnya sebagai proses mentaksir atau menilai/menghakim berdasarkan sesuatu krit ria atau standard. Pemikir yang efektif dikatakan akan berusaha mengaplikasikan standard atau kriteria yang tertentu dalam menilai pemikirannya. Tinjauan literatur mencadangkan beberapa standard pemikiran yang perlu diambil kira dalam proses penilaian pemikiran seseorang. Paul (1995) merujuknya sebagai intellectual universal standard. Menurutnya, pemikir yang efektif mestilah mengguanakan standard tertentu untuk menilai pemikirannya. Beliau menyenaraikan sembilan kriteria yang boleh dijadikan asas dalam menilai penaakulan atau hasil pemikiran seseorang iaitu 1) kejelasan, 2) ketepatan, 3)keterperincian, 4) logik, 5) relevan, 6) mendalam, 7) luas 8)signifikan dan 9)adil. Menurutnya, seseorang itu boleh menilai hasil penaakulannya sendiri atau penaakulan orang lain berdasarkan kriteria-kriteria tersebut.
Kriteria “Kejelasan” merujuk kepada sejauhmana penaakulan tersebut dapat difahami dengan huraian atau penerangan yang jelas dan contoh-contoh yang dapat menerangkan penaakulan tersebut. Soalan-soalan disini termasuklah, “Bolehkah kita menerangkannya dengan lebih lanjut?”, bolehkah kita memberi contoh-contoh yang memudahkan kita memahaminya. Kriteria ‘ketepatan’ pula merujuk kepada sejauhmanakah penaakulan tersebut bebas daripada ralat. Penaakulan tersebut seharusnya boleh ditentukan samada ia benar atau tidak. Soalan-soalannya termasuklah ‘Bolehkah kita mengesahkan kebenarannya? Bagaimana kita boleh pastikan bahawa ia benar?’ kriteria ‘keterperincian’ merujuk kepada sejauhmana penaakulan dijelaskan secara terperinci. Kriteria ini lahir hasil dari kesedaran bahawa kita memerlukan maklumat yang terperinci dan khusus untuk memudahkan kita memahami sesuatu.
Kriteria ‘logik’ pula, merujuk kepada sejauhmana penaakulan kita munasabah dan boleh diterima. Kriteria relevan berkaitan dengan isu sejauhmana maklumat itu relevan dengan isu yang ditangani. Kriteria mendalam dan luas juga berkaitan dengan kecukupan maklumat dimana kriteria mendalam merujuk kepada sejauhmana kita mengambil kira semua kompleksiti yang berkaitan dengan isu yang di taakul. Soalan-soalan seperti apakah kesukaran atau masalah yang berkaitan dengan isu ini yang perlu dipertimbangkan, apakah antara kompleksiti yang perlu dipertimbangkan berkaitan dengan isu ini?. Manakala kriteria sama ada penaakulan kita cukup luas merujuk kepada sejauhmana kita telah memikirkan isu tersebut dari pelbagai sudut pandangan atau dilihat dari beberapa cara yang berbeza. Akhir sekali kriteria adil merujuk kepada sejauhmana kita bebas daripada kepentingan peribadi atau bias kepada sudut pandangan yang tertentu.
Melalui aplikasi yang teliti dan berhati-hati, kriteria yang dibincangkan tersebut ke atas pemikiran kita, kita dapat menghasilkan penaakulan yang berkualiti. Dalam perbincangan ini, pemikiran kritikal merujuk kepada usaha-usaha pelajar menilai semula hasil pemikiran atau tindakan yang hendak dan ingin dijalankan berkaitan dengan proses pembelajarannya. Pembinaan standard/kriteria penilaian bagi setiap peringkat metakognisi perlu dioperasikan untuk memandu proses mengakses, memilih dan mempelajari bahan yang diakses daripada internet.
Aplikasi Pemikiran Kritikal dan Strategi Metakognitif dalam Mempelajari Bahan daripada Internet
Dalam proses mengakses, menilai dan mempelajari bahan daripada internet, penggunaan pemikiran kritikal akan dapat membantu pelajar membuat keputusan yang lebih baik bagi mencapai tujuan proses pembelajaran yang diharapkan. Aplikasi pemikiran kritikal ini boleh dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu aktiviti pembelajaran berlangsung. Tujuan utama penilaian menggunakan prinsip aplikasi pemikiran kritikal ini ialah untuk memperbaiki amalan yang sedang atau yang akan dioperasikan.
Penekanan terhadap pemikiran kritikal boleh dibudayakan dalam setiap peringkat atau proses pembelajaran pelajar. Strategi metakognitif merupakan salah satu cara yang boleh dipraktikkan oleh pelajar dalam menanam budaya mengamalkan pemikiran kritikal mereka. Strategi metakognitif merujuk kepada strategi pembelajaran yang menekankan kepada prosedur atau langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pelajar dalam melaksanakan satu-satu tugasan. Penggunaan strategi metakognitif melibatkan usaha-usaha menggalakkan pelajar mengawal proses pembelajaran mereka secara sedar dan sengaja. Pengawalan pembelajaran sebenarnya bermula sebelum, semasa dan selepas sesuatu proses pembelajaran berlangsung melalui aktiviti merancang dan memilih strategi yang sesuai, memantau kemajuan proses pembelajaran yang dilalui, mengambil tindakan untuk memperbaiki kesilapan, menganalisis keberkesanan strategi pembelajarannya dan mengubah suai tingkah laku pembelajaran jika perlu.
Aplikasi pemikiran kritikal dalam strategi metakognitif ini sangat berkait rapat dengan konsep pembelajaran regulasi kendiri dan juga perkembangan kemahiran metakognisi dikalangan pelajar. Dalam konteks pembelajaran, metakognisi merujuk kepada pemikiran peringkat tinggi yang melibatkan kawalan secara aktif ke atas proses pemikiran yang terlibat dalam proses pembelajaran. Proses kawalan tersebut direalisasikan melalui soalan-soalan kritikal yang dikemukakan untuk dijawab bagi membantu proses merangcang, memantau dan menilai. Dalam strategi ini pelajar perlu menyemak semula proses pembelajaran mereka melalui proses penyoalan yang dapat membantu pelajar merancang, memantau dan menilai proses pembelajaran mereka. Soalan-soalan metakognitif sebelum, semasa, dan selepas sesuatu tugasan pembelajaran dilaksanakan dalam proses pembelajaran dapat membantu pelajar membina perbualan atau dialog dengan dirinya sendiri dan membuat refleksi mengenai proses pembelajaran yang dialaminya. Sebelum pelajar memulakan tugasan, guru boleh membimbing pelajar merancang penyelesaian tugasan menggunakan soalan-soalan seperti “ Apakah yang perlu saya lakukan dulu?”.
Soalan-soalan sebelum melaksanakan tugasan iaitu, ketika membina pelan tindakan:
Apakah objektif saya melaksanakan tugasan ini?
Apakah yang ingin saya capai?
Apakah hala tuju pemikiran saya?
Apakah yang perlu saya lakukan dulu?
Mengapa saya perlu buat ini?
Berapa lama saya perlu sempurnakan tugasan ini?
Hasil daripada aktiviti penyoalan ini sepatutnya menjurus kepada memahami
tugasan yang dilaksanakan. Contohnya aktiviti mengakses maklumat selalunya bermula dengan tugasan atau objektif kenapa ia melakukan pengaksesan tersebut. Katalah guru memberi tugasan yang tertentu dan memerlukan pelajar mengakses maklumat untuk menyempurnakan tugasan tersebut. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah meneliti apakah hasil yang ingin diperolehi daripada pengaksesan maklumat tersebut.
Satu daripada masalah pelajar ialah ketidakupayaan untuk memahami apakah sebenarnya kehendak tugasan yang cuba diselesaikan. Justeru guru harus membimbing pelajar menjelaskan dalam perkataannya sendiri apakah yang dimaksudkan dengan tugasan tersebut dan seterusnya membina objektif yang jelas apakah maklumat atau kategori maklumat yang perlu diekstrak daripada maklumat yang diakses. Ini melibatkan penganalisisan tugasan dan hasil akhirnya ialah beberapa bentuk pertanyaan yang perlu diperolehi jawapannya daripaada bahan yang diakses. Aktiviti ini sebenarnya dapat membantu pelajar mendapatkan bahan daripada internet melalui pengenal pastian kata kunci yang sesuai untuk digunakan dalam pencarian maklumat tersebut.
Dalam peringkat merancang, hasil pemikiran perlu dinilai secara kritikal berdasarkan standard pemikiran seperti sejauhmana apa yang dirancang itu jelas, tepat, terperinci, relevan, logik dan adil. Soalan-soalan yang boleh dikemukakan termasuklah:
· Adakah objektif yang hendak dicapai jelas
· Adakah kategori dan sub kategori yang dibentuk relevan dengan topik yang menjadi fokus
· Apakah ia cukup mendalam dan luas bagi isu yang hendak diselesaikan
Ketika proses mengakses dan mempelajari maklumat daripada internet, pelajar
perlu sentiasa memantau sejauhmana ia menuju ke arah pencapaian objektif yang telah dibentuk di peringkat awal semasa perancangan tadi. Pelajar boleh memantau proses pembelajarannya dengan menggunakan soalan-soalan pemantauan seperti “Bagaimana prestasi saya setakat ini?” “Bagaimana patut saya teruskan” dan sebagainya. Soalan-soalan yang dikemukakan dinilia menggunakan standard atau kriteria yang dibincangkan diatas. Begitu juga dengan soalan-soalan penilaian kendiri yang sesuai untuk membimbing pelajar membuat penilaian proses pembelajaran yang telah dijalankan.
Apabila pelajar mengamalkan proses merancang, memantau dan menilai aktiviti pembelajaran mereka, dan mengaplikasikan pemikiran kritikal dalam menilai ketiga-tiga proses tadi, proses pembelajaran mereka akan menjadi lebih efektif dan bermakna. Mereka akhirnya akan dapat membina kemahiran belajar yang berguna yang boleh digunakan dalam proses pembelajaran sepanjang hayat mereka. Justeru dicadangkan satu model metakognisi yang mengintegrasikan aplikasi pemikiran kritikal dalam pengaksesan dan pemilihan maklumat yang mempunyai empat langkah penting iaitu: 1) menyenaraikan objektif pencarian maklumat 2)menggunakan senarai tersebut untuk mencari maklumat 3) memantau strategi yang digunakan menggunakan senarai 4) menilai strategi yang digunakan dan hasil pembelajaran yang dicapai. Bagi setiap langkah tersebut, penilaian menggunaka aplikasi pemikiran hendak dijalankan menggunakan templat standard yang dibina sebelum langkah selanjutnya dijalankan.
Langkah pertama melibatkan penglibatan pelajar dalam penyediaan senarai topik dan subtopik sebagai objektif pencarian maklumat. Pada peringkat ini, pelajar memikirkan apakah fokus pencarian dengan menyenaraikan topik dan sub-sub topik yang berkaitan dengan topik utama. Selepas itu, pelajar hendaklah menukar topik dan sub-topik tersebut dalam bentuk soalan. Soalan-soalan bagi setiap topik atau subtopik hendaklah meliputi empat soalan utama yang akan memandu pencarian maklumat iaitu:
· Apakah yang perlu saya fahami?
· Ia tergolong dalam kategori apa
· Apakah penerangan/ ciri-ciri/ deskripsi/ yang dapat menjelaskannya
· Apakah kepentingannya
Hasil penyenaraian hendaklah dinilai dari segi sejauh mana ia
mencukupi,jelas, relevan, logik, mencukupi (terperinci, meluas,mendalam), tepat dan adil.
Pada peringkat kedua, pelajar diajar menggunakan strategi yang sesuai untuk mengakses ahan berdasarkan topik dan sub-topik yang telah disenaraikan. Untuk mencapai objektif ini, pelajar seharusnya telah didedahkan dengan teknik pencarian misalnya cara menggunakan kata kunci dan prosedur penggunaan “boleh search”. Dengan itu, mereka boleh mencari laman web yang bersesuaian dengan topik yang hendak dicari. Aplikasi pemikiran kritikal disini ialah proses menyoal diri sendiri sejauhmana strategi pencarian yang digunakan memberi hasil yang diharapkan. Maklumat yang diakses tadi hendaklah dipelajari berdasarkan empat soalan utama di atas. Di sini pelajar perlu dibimbing membina makna daripada maklumat yang diakses melalui proses menjawab empat soalan yang dibincangkan di atas. Hasilnya ialah ringkasan mengandungi maklumat yang dicari daripada laman web selanjutnya yang berkaitan dengan topik yang dipelajari.
Di peringkat ini, di jangkakan pelajar akan mendapat lempahan maklumat daripada laman-laman web yang di senaraikan. Justeru, pada peringkat ini, pelajar perlu digalakkan memantau sama ada mereka berada pada landasan atau arah yang betul untuk mencapai objektif pembelajaran mereka. Ketika mereka berada dalam satu-satu titik masa, mereka perlu menyoal diri mereka sendiri secara berkala samada mereka masih berada pada landasan yang betul ke arah pencapaian matlamat. Pelajar perlu diajar bahawa untuk memantau proses pencarian maklumat tersebut, mereka perlu berhenti sejenak untuk menilai kemajuan dari semasa ke semasa. Proses pemantauan dalam pemilihan bahan hendaklah berpandukan sejauhmana bahan tersebut dapat memberikan input untuk menjawab soalan-soalan yang telah dibina bagi setiap topik dan subtopik yang ditetapkan.
Sebagaimana peringkat pertama dan kedua tadi, pada peringkat pemantauan juga diaplikasikan pemikiran kritikal terus digunakan dengan menilai maklumat yang diakses dari segi sejauhmana maklumat yang diakses relevan dengan topik yang dicari, sejauhmana ia boleh dipercayai, adakah ia mencukupi dan sebagainya. Hasil daripada rumusan-rumusan yang dibina daripada proses menjawab soalan semasa mempelajari maklumat digunakan untuk menyelesaikan tugasan. Hasilan ini juga hendaklah dinilai dari segi sejauh mana ia mencukupi, jelas, relevan, logik, mencukupi (terperinci, meluas, mendalam), tepat dan adil. Prosedur ini perlu diaplikasikan dalam pembelajaran bahan yang diperolehi bagi setiap laman yang diakses.
Peringkat yang terakhir ialah peringkat menilai strategi dan hasil pencarian yang dijalankan. Pelajar perlu digalakkan menilai sama ada apa yang dilakukan efektif atau tidak. Pelajar boleh menilai strategi yang digunakan dengan mencari jawapan kepada soalan-soalan seperti:
· Apakah yang saya cuba capai?
· Apakah strategi yang saya gunakan?
· Sejauhmana strategi tersebut dijalankan dengan baik?
· Apa lagi yang boleh saya buat?
Tujuan aktiviti ini ialah untuk pelajar membuat refleksi tentang strategi yang digunakan dan menilai kelebihan dan kelemahan serta membuat adaptasi yang sesuai untuk menggunakan strategi tersebut pada masa depan. Ini penting untuk menyokong pemindahan kemahiran belajar dan menjadikan mereka menjadi pembelajar yang efektif dalam persekitaran digital yang sangat penting dalam proses pembelajaran sepanjang hayat mereka.
Kesimpulannya, model strategi metakognisi yang dicadangkan diatas menampakkan penekanan aplikasi pemikiran kritikal di setiap peringkat proses pembelajaran iaitu bermula dari peringkat perancangan, pemantauan dan penilaian. Penggunaan strategi metakognitif dalam proses pembelajaran mereka dijangkakan dapat menghasilkan hasil yang memuaskan dalam mempelajari bahan yang diakses daripada internet. Bimbingan kepada pelajar untuk menguasai strategi belajar ini akan dapat membantu kejayaan proses pembestarian sekolah yang diinginkan.
Penutup
Penggunaan strategi metakognitif yang menekankan aplikasi pemikiran kritikal boleh diamalkan dalam strategi mempelajari bahan yang diakses daripada internet. Usaha ini akan mencapai objektif serampang mata iaitu memperoleh kemahiran belajar yang efisian dan berkesan dan pada masa yang sama memupuk budaya pemikiran kritikal yang menjadi teras kepada proses penambahbaikan dalam sebarang pelaksanaan aktiviti atau tindakan yang diambil dalam kebanyakkan setting kehidupan baik dalam proses pembelajaran mahupun dalam aktiviti kehidupan seharian. Bila pelajar menjadi lebih mahir dalam menggunakan strategi metakognitif, dan mengaplikasikan pemikiran kritikal dalam aktiviti pembelajaran mereka, mereka akan menjadi lebih yakin dan dapat menguasai proses pembelajarannya sendiri.
Tujuan akhir ialah untuk membolehkan pelajar menyedari proses pemikiran mereka dan seterusnya membina kemahiran memantau dan mengawal operasi kognitif mereka sendiri. Diharapkan pelajar akan dapat merancang bagaimana menggunakan proses pemikiran mereka, memerhati dan meneliti implementasi rancangan mereka serta membuat pengubahsuaian yang perlu secara sedar. Akhir sekali pelajar juga mampu menilai secara kritikal keseluruhan proses dan hasil pembelajaran mereka. Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa strategi metakognisi dan amalan pemikiran kritikal berjalan seiring untuk memperbaiki proses dan hasil pembelajaran pelajar dan boleh digunakan untuk memupuk amalan pemikiran kritikal pelajar.